
Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada
setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai
suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang
dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan
tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi
isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian.
Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai
penenang dan penyeri rumahtangga.
Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan
suami.
1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam
mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong
cakapnya.
2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,
jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak
dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi
kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat
kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu
bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas
kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami
kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi
cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih
sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita
tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah
martabat keegoannya selaku seorang lelaki.
3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik
isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah
banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah
sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai
keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai
kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada
sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang
menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja
dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta
simpati dari ibunya.
4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah
segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari
segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari
isnin, Khamis dan Jumaat.
5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat
bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan
melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak
mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di
hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya
akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat
padanya.
6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya
ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari
atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk
asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila
seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi
mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana
meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut
dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak
menggemarinya.
7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya
hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik
yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan
cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan
tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada
ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga
jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus
isterinya, sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi
rumahtangga.
8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam
poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin
kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi
kesalahan seandainya si suami menolak segala
persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya
sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.
9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak,
dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan
kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan
hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam
keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala
besar ke atas setiap isteri kecualilah jika suami kita
meredainya.
10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang
hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah
izin daripadanya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu
kemudian baru diberitahu kepadanya. Siapa tahu
mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri
sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang
lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat
apa-apa. Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum
melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara
itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi
kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan
para isteri.
11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas
ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada
di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya
senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.
Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri
juga merupakan salah satu ibadah yang diredai oleh
Allah SWT.
12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan
jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak
sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas
seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan
di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa
kita. Kalau boleh sediakan kuih-kuih ringan seperti
karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal
ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan
ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping
tidak terjamin kebersihannya.
Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan
memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah
dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala
tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan
syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah
kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena
caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan
dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau
ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya




0 ulasan:
Catat Ulasan